Monday, December 12, 2005

Pantun rekaan...lame dowh..


KETIKA HATI MENANGIS

Tuhanku,
ketika hati sedang menangis
hanya Engkau saja yang tahu
betapa merananya diriku
tak mungkin yang lain tahu....

Tuhanku,
ketika mereka meninggalkan aku
sendiri terkapai-kapai
ketika dunia tiada simpati
Kau tetap mendengar rintihanku
padaMu tempatku menagih kasih
ketenangan kurasa mendekatiMu
syahdu malam tak terasa sunyi..

Tuhanku,
ketika aku dalam kepayahan
keseorangan dihimpit beban derita
Kau beri aku kesabaran
pengalaman mengajar erti kematangan
lantas Kau membuka pintu hatiku
untuk memberi kemaafan
pada mereka yang pernah melukakanku..
pada mereka yang terus melukakanku...
dan pada mereka yang tersedar kerna melukakan...

Tuhanku,
ketika aku buntu
keliru dengan masa depanku
kau berikan aku kekuatan
Kau tunjukkan aku jalan
peluang kedua yang sungguh bermakna
sebagai suluh hidupku
menebus usia yang sia-sia
mengganti semalam yang pergi
memperbaiki kelemahan diri
mempelajari pengajaran dari kesilapan
menimbus kekecewaan dan dendam

Moga tiada lagi aku
bercita-cita lemas di laut
atau terlanjur menelan berlebihan pil
sungguh pelik bunyinya tetapi benar
hanya Kau saja yang mengerti
hatiku terseksa sekian lama
kini akhirnya bangkit semula
melupakan episod terakhir
dan menyambut lembaran baru...

Tuhanku Yang Maha Pengasih
rahmatMu tak terkira
syukurku melangit pun tak tercapai
sungguh aku rasa berdosa
kerana dulu sering terlalai
semoga penyesalanku kau terima...


PERSAHABATAN

Persahabatan
jambatan siratulrahim
sesama insan kita bajai
perasaan kasih sayang tulus dan suci
seumpama mengasihi diri sendiri...

Persahabatan murni
milikan bererti
harum mewangi bak aroma kasturi
teman menangis jua ketawa
berada di sisi di saat derita
sedia mendengar sanggup membantu
bermanis muka biarpun hiba
pemberi semangat dan harapan
penawar hati penajam fikiran
menyedarkan kita ketika alpa...

Sahabat sejati
ibarat sebutir bintang begermerlapan
di antara jutaan bintang di langit kelam
Jangan biarkan ia malap
peliharalah ia dengan keikhlasan
teguhkan persefahaman
binakan ikatan mesra
moga ia terus bersinar....


INGIN SEKALI

Dari kejauhan itu
kuterpandang seraut wajah
tenang dalam diam
namun seakan menyimpan
suatu nostalgia memilukan
rahsia tak terucap

Ingin sekali kumenghampiri
memulakan bicara
berbual mesra
namun hajatku tak pernah kesampaian
kerna sifat malu
masih menebal dalam diri

Oh bilakah peluang itu
akan tiba akhirnya?
Adakah salam perkenalanku
akan disambut?

Ingin sekali kuselami
lubuk hatinya
meleraikan misteri
membebaskan penderitaannya
aku ingin sekali melepaskan
belenggu hatinya
dan membangkitkan kembali
ghairah kehidupannya!



CINTA YANG HILANG


Ke manakah perginya cinta
yang dulu bersemi di hati
menyinari kebahagiaan
pencetus azimat sakti
kemudi nadi hidupku

Ke manakah hilangnya rindu
yang dulu mencuri lenaku
semarak kasih sayangku
ingatan semurni cintaku
setulus ikhlas hatiku

Tuhan kusedari
cinta yang pergi
tak akan kembali
jiwa terseksa menanggung luka
di atas segala perbuatannya
biarpun kenangan menghantui diriku
tak akan ku pulang ke pangkuannya
namun betahkah aku
untuk mempercayai lagi
ketulusan cinta
yang kononnya
putih dan suci???


SALAHKAH AKU...isk isk!..nanges wani nak tulis..

Hinakah seorang pencinta puisi
seperti aku...seperti aku...
dan tentunya bukan kau (yang tak mengerti)
salahkah aku menitip baris puitis
yang lahir dari hati
menyulam ketenangan
dalam hening malam

Aku mencintai keindahan
warna-warna yg membentuk alam
salahkah aku menulis puisi
tentang
kasih sayang
kemanusiaan
ketuhanan
bukankah kita adalah insan
yg tak dapat berpisah
dengan tiga nilai itu
mampukah kau hidup seorang diri?

Salahkah aku kerna melakarkan kata
yang dalam maknanya
tersirat itulah keindahan
santun menyampaikan maksud
bukan menikam dengan lidah yg tajam
seperti apa yang kau lakukan
terhadapku...

Hinakah seorang pencinta puisi
hingga sanggup kau mentertawakan aku
melabel aku sebagai jiwang
memperkecilkan segala karyaku
bukankah naluri wanita penuh kelembutan
adakah kau kecewa kerana itu?
kita terlalu berbeza
seolah lahir dari dunia berlainan
kau mengejekku sebagai sentimental
namun tidakkah kau tahu
aku menangis kerana kekerasan hatimu
kekasaran bahasamu sudah keterlaluan
mungkin kau lebih menerima
seorang wanita kasar dan ego sepertimu?

Kau tak dapat menerima caraku
tapi perlukah kau memperlekehkan aku??

Sememangnya kau tak mengerti perasaanku
namun aku terlalu mengerti dirimu
maafkan aku menyatakan
antara kita tiada keserasian
walau seribu tahun lagi
cukuplah sekali ini...


w a n i@ 4:35 AM | 0 comments


<< Home